Wednesday 7 May 2014

Kereta Awie kena curi lagi

Sebuah kenderaan pacuan empat roda model Mitsubishi Pajero milik pelakon dan penyanyi terkenal, Awie atau nama penuhnya Azhar Othman, 46, dilaporkan lesap dilarikan penjenayah ketika diletakkan di hadapan Pangsapuri Villa Danau, Danau Kota Setapak.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi semalam, kenderaan itu dipandu pembantu peribadi Awie, Mohd Khyrull Anuar Ahmad, 30, bagi urusan kerja sejak dua tahun lalu.

Mohd Khyrull berkata, kejadian berlaku sehari selepas dia dan Awie pulang dari mengikuti program minggu berbasikal di Wilayah Persekutuan Labuan.
"Kebiasaannya saya akan meletakkan pacuan empat roda itu di dalam kawasan pangsapuri didiami. Bagaimanapun semalam (kelmarin) saya meninggalkan pacuan empat roda itu di luar kawasan pangsapuri sekitar jam 10.30 malam kelmarin.

“Saya tidak langsung berasa bimbang kerana kenderaan itu diletakkan berhampiran pos kawalan pangsapuri itu. Malah banyak kenderaan penghuni turut diletakkan di kawasan sama,” katanya.
Dia yang mahu keluar untuk bekerja pagi semalam bagaimanapun terkejut apabila mendapati kenderaan pacuan empat roda itu hilang dicuri.
“Saya cuba mencari kenderaan itu di kawasan sekitar pangsapuri, namun gagal. Malah, saya turut menghubungi rakan untuk meminta bantuan mengesan kenderaan itu,”

“Abang Awie memang baik. Dia tidak pernah berkira dan selalu meminjamkan kenderaannya bagi memudahkan saya menguruskan hal persembahan dan perkara berkaitan kerja seninya,” katanya.
Menurutnya, kejadian itu sudah dilaporkan ke Balai Polis Setapak.

No comments:

Post a Comment